Sekarang, ramai orang baik dari generasi kini dan generasi yang terdahulu hinggalah yang telah bertongkat menggunakan khidmat sistem ini. Malahan, sesetengahnya meluahkan isi hati melalui laman-laman sosial sebegini. Bila ingin berhubungan, log masuk dan paparkan apa yang perlu dikatakan, upload imej yang ingin ditayangkan dan bergembira dengan komen sanak saudara dan rakan-rakan.
Bukan nak kritik kemajuan teknologi yang tentunya ada baik-buruk kepada kita tetapi memikirkan apa yang akan terjadi kepada laman sosial kita bila kita sudah tiada. Banyak peristiwa dan kenangan telah diabadikan di atas talian dan jarang disimpan di rumah atau di tangan ahli keluarga. Saudara mara dan rakan-rakan dapat berkongsi bergelak tawa dan turut menghulurkan empati dalam kenangan atau memori yang telah dipaparkan di atas talian. Ramai dapat berhubungan baik semula dengan teman zaman persekolahan hinggalah kepada ex-gf dan ex-bf. Betapa bagusnya teknologi terkini!
Kenangan ini kononnya diabadikan untuk memori di kala umur meningkat. Namun, tatkala uzur atau maut menjemput awal.. siapakah yang diwariskan passwordnya agar dapat diimbau kembali kenangan lama, untuk disunting memori yang sudah kurang sesuai dpaparkan, untuk membolehkan cucu ditambah sebagai rakan atau melihat gambar-gambar atuknya.
Mungkin juga dalam tempoh yang lama, laman sosial kita juga dihapuskan untuk memberi ruang kepada pengguna baru. Oh! Alangkah baiknya jika semuanya telah disimpan sesalinan buat yang memerlukan.
Wah! Teknologi seni foto pun dah meningkat maju dan banyaklah gambar-gambar digital yang dipaparkan ke laman sosial hinggakan sekeping pun adakalanya tidak dicetak. Beribu keping telah di"snap" hinggakan lupa apa kandungannya. Riak wajah juga pelbagai. Ngerinya di zaman ini, minat untuk menyerlahkan aksi-aksi yang pelik kian menjadi-jadi dan jurukamera pula suka mencari aksi yang melucukan agar dapat dikongsi ramai. Foto aksi jenis ini mendapat perhatian ramai dan bermulalah bibit-bibit sinis, hinaan dan kutukan serta jarang-jarang diambil positif. Inginkah kita banggakan foto-foto begini untuk tatapan di hari tua atau kenangan buat warisan kita?
Melihat pula kepada gambar-gambar hitam putih milik orang tua zaman dulu-dulu, teringatkan nasihat mereka sebelum imej dirakamkan.
“Sebelum bergambar, solek muka baik-baik dan pakailah cantik-cantik.”
Nilai itu mungkin dah berubah tetapi gambar model-model zaman itu telah dihasilkan dengan menunjukkan attitude yang baik dan imej-imej ditinggalkan di dalam album masih tampak segak, cantik dan berwibawa walau pun sudah sekian lama dicetak. Dah pada waktu-waktu keraian dan kunjungan, ianya sangat bernilai dan ditatapi seisi keluarga. Persoalannya, bagaimana pula keadaan memori yang diabadikan dalam laman web sosial? Kemanakah akhirnya memori itu?
No comments:
Post a Comment