Sunday, 9 October 2011

Nama Bilik Mesyuarat

Di kalangan orang-orang kenamaan atau usahawan-usahawan berjaya, mesyuarat @ meeting @ seminar dibuat di bilik-bilik mesyuarat yang ditempah khas. Selalunya bilik-bilik seminar di hotel-hotel ternama yang menjadi pilihan. Orang yang hadir akan merasai kehebatan acara yang disajikan. Bagi orang yang jarang-jarang berpeluang untuk menikmati status yang ditonjolkan oleh imej korporat di hotel pilihan, dapat dirasakan gementar dan kekoknya melangkah ke dewan atau bilik mesyuarat/seminar. Pada ketika inilah, golongan ini akan mudah terpesona dengan kekuatan seni hiasan dalaman yang membawa ke arah persetujuan dalam sesuatu rundingan. Terlalu ingin menikmati gaya hidup yang berstatus tinggi atau turut merasakan diri masing-masing berada dalam status ekonomi yang sama. 

Ceritanya berkaitan nama-nama pilihan yang diberikan kepada dewan atau bilik-bilik yang disediakan ini. Namanya gah atau cantik disebut, dibaca dan dilihat tetapi jarang diingati pengunjung. Pelbagai jenis nama digunakan mengikut tema pilihan. Jika bertemakan batu permata maka lahirlah Intan, Zamrud, Berlian, dan Delima.  Ada yang menggunakan jenis burung seperti Merak, Merpati dan Enggang mahupun jenis ikan seperti Kalui, Kelisa dan Baung.  


Bayangkan kalau kita menggunakan jenis-jenis nama yang menggembnirakan kita atau pengunjung. Agaknya pasti bukan sahaja suasana dan hasil perjumpaan yang diingati bahkan namanya sekali. Apa kata kalau nama yang diberikan seperti  ini:
“ Dewan Sukahati”
“Bilik Mesyuarat Bersurai”
“Bilik Menangis”
“Bilik Gembira”
Tidak dinafikan adakalanya idea penggunaan nama di atas akan dianggap tak menepati imej dan tidak menonjolkan status sesuatu tempat. Tetapi, harus diingat bahawa penafian kepada kretiviti  pada waktu ini mungkin menjadi penyesalan di kemudian hari kerana nama-nama ini ada kesan psikologi kepada pengguna.


Sewalah Bilik Mesyuarat Menangis untuk membahaskan ketidakpatuhan dan kelemahan organisasi dan pastinya ahli mesyuarat faham apa agenda yang akan diperkatakan bila dijemput ke mesyuarat ini. Atau pun, gunalah Bilik Gembira  untuk mengumum dan meraikan pencapaian yang cemerlang. Pasti diingati kan?

Saturday, 1 October 2011

Ke Mana Akhirnya Kenangan Dalam Laman Sosial Seperti Facebook, Twitter Dan Seangkatan Dengannya Kepada Pengguna?

Sekarang, ramai orang baik dari generasi kini dan generasi yang terdahulu hinggalah yang telah bertongkat menggunakan khidmat sistem ini. Malahan, sesetengahnya meluahkan isi hati melalui laman-laman sosial sebegini.  Bila ingin berhubungan, log masuk dan paparkan apa yang perlu dikatakan, upload imej yang ingin ditayangkan dan bergembira dengan komen sanak saudara dan rakan-rakan.

Bukan nak kritik kemajuan teknologi yang tentunya ada baik-buruk kepada kita tetapi memikirkan apa yang akan terjadi kepada laman sosial kita bila kita sudah tiada. Banyak peristiwa dan kenangan telah diabadikan di atas talian dan jarang disimpan di rumah atau di tangan ahli keluarga. Saudara mara dan rakan-rakan dapat berkongsi bergelak tawa dan turut menghulurkan empati dalam kenangan atau memori yang telah dipaparkan di atas talian. Ramai dapat berhubungan baik semula dengan teman zaman persekolahan hinggalah kepada ex-gf dan ex-bf. Betapa bagusnya teknologi terkini! 

Kenangan ini kononnya diabadikan untuk memori di kala umur meningkat. Namun, tatkala uzur atau maut menjemput awal.. siapakah yang diwariskan passwordnya agar dapat diimbau kembali kenangan lama, untuk disunting memori yang sudah kurang sesuai dpaparkan, untuk membolehkan cucu ditambah sebagai rakan atau melihat gambar-gambar atuknya.

Mungkin juga dalam tempoh yang lama, laman sosial kita juga dihapuskan untuk memberi ruang kepada pengguna baru. Oh! Alangkah baiknya jika semuanya telah disimpan sesalinan buat yang memerlukan. 

Wah! Teknologi seni foto pun dah meningkat maju dan banyaklah gambar-gambar digital yang dipaparkan ke laman sosial hinggakan sekeping pun adakalanya tidak dicetak. Beribu keping telah di"snap" hinggakan lupa apa kandungannya. Riak wajah juga pelbagai. Ngerinya di zaman ini, minat untuk menyerlahkan aksi-aksi yang pelik kian menjadi-jadi dan jurukamera pula suka mencari aksi yang melucukan agar dapat dikongsi ramai. Foto aksi jenis ini mendapat perhatian ramai dan bermulalah bibit-bibit sinis, hinaan dan kutukan serta jarang-jarang diambil positif. Inginkah kita banggakan foto-foto begini untuk tatapan di hari tua atau kenangan buat warisan kita?
   
Melihat pula kepada gambar-gambar hitam putih milik orang tua zaman dulu-dulu, teringatkan nasihat mereka sebelum imej dirakamkan.

“Sebelum bergambar, solek muka baik-baik dan pakailah cantik-cantik.”

Nilai itu mungkin dah berubah tetapi gambar model-model zaman itu telah dihasilkan dengan menunjukkan attitude yang baik dan imej-imej ditinggalkan di dalam album masih tampak segak, cantik dan berwibawa walau pun sudah sekian lama dicetak. Dah pada waktu-waktu keraian dan kunjungan, ianya sangat bernilai dan ditatapi seisi keluarga. Persoalannya, bagaimana pula keadaan memori yang diabadikan dalam laman web sosial? Kemanakah akhirnya memori itu? 

Tuesday, 14 June 2011

Pemula Kata Pembuka Bicara...

Setiap orang ada pengalaman, prinsip hidup, hala tuju dan pengetahuan dalam menempuh pahit getir dan manis indah hidup masing-masing. Cetusan hati dan lintasan fikiran yang membuahkan faham sering menjadikan kita lebih jelas dan mengerti apa yang terselindung di sebalik suatu peristiwa, keadaan mahupun kisah. Hukum hikmah dan keperibadian terlontar dalam gaya berbeza...


Namun, Laloq bukan sekadar ingin memperkatakan tentang kehidupan, pengalaman dan pengetahuan secara jasmani bahkan turut cuba berkongsi tentang keasyikan rohani dalam memahami cinta kasih selaku hamba. Malahan, cuba menyatakan sifat dan afa'al berasaskan kendiri tanpa meminta dijatuhkan hukum manusiawi ke atas Laloq. Hanya teguran berhikmah yang disarankan kerana perihal begini berkehendakkan nasihat-menasihati...


Dalam apa bentuk pun sama-samalah kita berkongsi...